suria

Tiket Perlawanan Separuh Akhir Kedua Terengganu-Pahang Laris

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 8,000 tiket perlawanan kedua separuh akhir Piala FA antara Terengganu-Pahang di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam ini telah habis dijual dalam masa dua jam kaunter dibuka.

Peminat terutama penyokong pasukan 'Peteh' mengerumuni kaunter tiket sejak awal pagi walaupun kaunter hanya dibuka pada 9 pagi. Pengurus pasukan Terengganu Datuk Che Mat Jusoh berkata sebanyak 2,000 lagi tiket akan dijual di kaunter di stadium berkenaan pukul 3 petang ini.

"Bagi yang tidak sempat mendapatkan tiket pagi tadi, kita akan jual 2,000 lagi tiket petang ini. Kita yakin dalam masa satu jam semua tiket itu akan habis," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Katanya harga tiket bagi perlawanan Piala FA telah dinaikkan daripada RM10 ke RM12 bagi tempat duduk tanpa bumbung dan RM25 bagi tempat duduk berbumbung serta bagi tempat duduk pentas utama berbanding RM20 sebelum ini.

Jelasnya, harga tiket terpaksa dinaikkan berikutan kos perkhidmatan yang agak tinggi memandangkan ia adalah perlawanan separuh akhir.

Dalam pada itu, Che Mat berharap penyokong Terengganu berdisiplin ketika menerima kunjungan Pahang pada perlawanan malam ini.

"Kita buktikan kepada mereka (penyokong Pahang) bahawa kita boleh berkelakuan baik sepanjang perlawanan itu nanti," katanya. Perlawanan separuh akhir pertama Terengganu-Pahang berlangsung di Stadium Darul Makmur Jumaat lalu yang menyaksikan Terengganu menang 3-2. -BERNAMA

Artikel Lain