suria

Pemain Dilarang Beraksi Pada Kejohanan Domestik

IPOH: Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) mengambil keputusan melarang pemain negara beraksi pada kejohanan domestik sehingga selesai saingan kelayakan Sukan Olimpik 2012 pada April tahun depan.

Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata larangan itu bagi memastikan pasukan negara benar-benar mantap dan bersedia bagi menggalas cabaran merebut tiket ke Sukan Olimpik London.

Katanya PHM mengambil ketetapan untuk tidak membenarkan pemain negara beraksi dalam pertandingan tempatan termasuk Kejohanan Tun Abdul Razak bermula 27 Mei ini kerana tidak mahu sebarang gangguan dalam tempoh membuat persiapan.

"Saya berharap pasukan negeri dan kelab memahami akan keadaan ini," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Azlan Shah, di sini, Ahad.

Tengku Abdullah berkata skuad negara mempunyai tiga tugasan tahun ini iaitu Kejohanan Empat Negara di Russia, Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Afrika Selatan dan Piala Asia di China.

Sementara itu, baginda berpuas hati dengan persembahan pasukan negara pada Kejohanan Sultan Azlan Shah edisi ke-20 yang berakhir di sini Ahad.

Katanya pasukan bimbingan Tai Beng Hai hanya membuat persiapan singkat selain beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Malaysia menduduki tangga tercorot dalam kejohanan tujuh pasukan dengan hanya mengatasi Korea Selatan 3-1.

"Keseluruhannya pemain telah memberi persembahan terbaik serta berjaya memberi saingan kepada pencabar lain yang menduduki ranking lebih tinggi daripada kita," katanya.

Tengku Abdullah juga berkata PHM masih mencari jurulatih asing untuk mengendalikan pasukan negara tetapi usaha mendapatkan khidmat calon yang sesuai belum berhasil.-BERNAMA

Artikel Lain