suria

Gelanggang Silat Terbesar Dunia Akan Dibina Di Melaka

TAWAU: Sebuah gelanggang silat terbesar di dunia akan dibina di negeri Melaka tahun ini, kata Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ketua Menteri Melaka itu berkata gelanggang silat yang bakal diberi nama 'Gerbang Persilatan Melayu Sedunia' akan dibina di Perkampungan Hang Tuah, dengan kos dianggarkan sebanyak RM37 juta.

Katanya gelanggang yang boleh menampung kira-kira 5,000 penonton pada satu-satu masa itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 24 bulan.

"Ini sudah tentu akan memartabatkan lagi seni silat kita dan menunjukkan betapa seriusnya Pesaka untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kegiatan silat sedunia pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Silat Nusantara dan Jemputan Antarabangsa 2011 di sini, Isnin.

Menurut Mohd Ali sebaik sahaja gelanggang silat itu siap kelak, pelbagai program akan dirangka bagi pembangunan silat di negara ini serta di seluruh pelusuk dunia.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Ali mahu supaya falsafah seni silat dihayati dan diamalkan para pesilat iaitu kemahiran mempertahankan diri dan bukannya untuk menyerang tanpa provokasi.

"Silat dan falsafahnya dipelajari bukan untuk membanggakan diri, jauh sekali untuk melakukan kejahatan," katanya.

Mengulas mengenai penganjuran festival silat berkenaan, Mohd Ali berkata ia merupakan landasan terbaik mempromosikan silat di peringkat antarabangsa.

Katanya melalu festival itu, ia dapat menghimpunkan pesilat-pesilat dari seluruh negara yang semestinya dapat menyemarakkan semangat kependekaran dan kesukanan di kalangan peserta.

Mohd Ali berkata festival berkenaan boleh menjadi simbol perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dan seluruh penduduk nusantara.

Festival yang bermula hari ini hingga 19 Mei ini melibatkan 18 buah pasukan dengan kira-kira 250 pesilat dari seluruh negara termasuk dari negara Singapura. -BERNAMA

Artikel Lain