suria

Pelumba Azlan Shah Juara Kategori CP130 Cub Prix AAM Malaysia Petronas

KUALA TERENGGANU: Pelumba pasukan TEQ SCK Honda Racing Azlan Shah Kamaruzaman menjuarai kategori CP 130 pusingan ketiga Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 dalam perlumbaan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, Sabtu.

Pelumba yang berasal dari Shah Alam itu berjaya menamatkan perlumbaan 15 pusingan dalam masa 10 minit 30.007 saat dengan diekori rapat oleh Ahmad Fazrul Sham dari pasukan Penzoil Fastrac Racing di tempat kedua dengan catatan masa 10 minit 31.071 saat.

Tempat ketiga pula dimenangi pelumba pasukan Yamaha Maju Motor Racing Ahmad Fuad Baharuddin dengan catatan masa 10 minit 32.129 saat.

Azlan yang ditemui melahirkan rasa gembira dengan kemenangannya walaupun diberi tentangan hebat oleh pelumba Ahmad Fazrul.

"Fazrul bermula dengan baik daripada pusingan pertama bagaimanapun pada pusingan terakhir saya berjaya memintas beliau menjadikan kemenangan ini amat bermakna buat saya. Kemenangan ini memberi keyakinan dan berharap ia dapat diteruskan pada saingan di Putrajaya," katanya.

Pada sesi ujian masa semalam, Azlan Shah berjaya mencatat masa kedua terpantas dengan 41.990 saat diikuti pelumba Pennzoil Fastrac Racing, Ahmad Fazrul Sham dengan 42.011 saat.

Sementara itu, bagi kategori CP115 menyaksikan penguasaan pelumba dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing Zaidy Md Zaifaizal dengan catatan lapan minit 37.787 saat.

Tempat kedua menjadi milik Md Rozaliman Zakaria dari ZAR Racing Motorsport dengan masa lapan minit 41.243 saat dan rakan sepasukan Zaidy, Md Adli Salihin di tempat ketiga dengan masa lapan minit 41.403 saat.

Bagi kategori WIRA, Md Hafiza Rofa dari pasukan Faito YSP Racing di tempat pertama dengan masa tujuh minit 38.657 saat diikuti pelumba dari pasukan Honda Promax X- Dot Racing Md Emir Fareez Hasan dengan catatan masa tujuh minit 40.156 saat dan ketiga menjadi milik pelumba dari pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley dengan tujuh minit 41.178 saat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

West Ham Pecat Grant

Artikel Berikut

Artikel Lain