suria

Lebih 200 Pasukan Bola Sepak Ambil Bahagian Dalam MUPC Tahun Ini

PETALING JAYA: Edisi ke-13 Piala Perdana Manchester United (MUPC) yang sebelum ini dikenali sebagai Nike Cup, terus menarik minat ramai pemain bola muda yang berbakat besar dalam negara, dengan lebih 200 pasukan mengambil bahagian dalam saingan tahun ini.

Pengurus Pemasaran Nike Malaysia Siva Shanker Jayaraj berkata pertandingan itu adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya dalam membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi.

Beliau berkata adalah penting untuk menetapkan halatuju pertandingan yang betul memandangkan jumlah penyertaan setiap tahun bertambah, dan kebanyakan pasukan yang mengambil bahagian mulai sedar mengenai kepentingan kejohanan ini.

"Menerusi kejohanan ini pemain muda yang berbakat akan dapat meraih pengalaman dalam senario pertandingan sebenar. Mereka akan berpeluang untuk mengasah bakat di samping memupuk kemahiran untuk sentiasa tenang semasa menghadapi tekanan," katanya pada satu persidangan media di pejabatnya di Mutiara Damansara dekat sini, Jumaat.

Menurutnya selepas pusingan pembukaan pada 16 April di Kuantan, Pahang, enam pasukan layak ke pertandingan akhir peringkat Malaysia.

Zon timur akan diwakili oleh SMK Putera (Kelantan) dan SMK Sultan Sulaiman (Terengganu), manakala SMK Pusat Bandar Puchong dan SMK Meru (Selangor) mewakili Zon Tengah, dan SMK Anderson (Perak) serta MSSPP (P.Pinang) mewakili Zon Utara.

"Hujung minggu ini saingan akan dibawa ke Pasir Gudang, Johor, bagi memilih pasukan untuk mewakili Zon Selatan, manakala pada minggu berikutnya kami akan menganjur pertandingan untuk kelayakan Zon Timur di Stadium Sarawak.

"Kami bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta persatuan bola sepak negeri-negeri dan juga Kementerian Pendidikan untuk menjayakan pertandingan ini," katanya.

Final peringkat Malaysia akan berlangsung di padang Majlis Sukan Nasional di Bukit Jalil pada 28 Mei ini dan pemenang akan mewakili Malaysia ke peringkat akhir rantau Asia Tenggara yang dijadualkan berlangsung di Si Racha, Thailand.

"Wakil peringkat serantau pula akan bersaing di final peringkat dunia di Carrington, yang merupakan padang latihan bagi kelab Manchester United, dan perlawanan akhir di stadium Old Trafford," katanya.

Antara bintang bola sepak dunia yang dicungkil bakat mereka menerusi kejohanan ini termasuk Fernando Torres, Carlos Tevez, Robinho dan Fransesc Fabregas, manakala pemain tempatan termaasuk Safiq Rahim, Khyril Muhymeen, Adil Zafuan Abdul Razak dan Zaquan Adha Abdul Razak. -BERNAMA

Artikel Lain