suria

Negeri, Kelab Liga Tempatan Jelas Tunggakan KWSP RM6 Juta

PETALING JAYA: Pasukan negeri dan kelab yang bertanding dalam liga bola sepak tempatan berjaya menjelaskan RM6 juta daripada RM7 juta caruman pemain kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertunggak sehingga tahun lepas.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata hanya tinggal baki RM1 juta belum dijelaskan kerana masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Saya berbangga dengan kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh setiap pasukan sepanjang tempoh enam bulan lepas apabila mereka berjaya menjelaskan tunggakan KWSP sebanyak RM6 juta," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Rabu.

Beliau berkata kejayaan membayar sejumlah besar tunggakan KWSP tercapai apabila pasukan terbabit bersungguh-sungguh membuat pembayaran mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan oleh pihak KWSP.

Hampir setiap tahun pasukan yang bertanding menghadapi masalah untuk melakukan caruman KWSP pemain sehingga tunggakan mencecah angka RM7 juta pada tahun lepas.

Sebagai menyelesaikan masalah tersebut FAM mengambil tindakan meletakkan syarat akan menyingkirkan mana-mana pasukan yang gagal menjelaskan tunggakan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Hamidin berkata Jawatankuasa Pertandingan FAM akan terus melakukan pemantauan setiap tiga bulan bagi memastikan bahawa pasukan bola sepak negeri dan kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia membayar caruman KWSP.

Katanya tindakan tersebut wajar dilaksanakan bagi memastikan pemain dapat memberi fokus sepenuhnya kepada pencapaian tanpa dibebani dengan masalah pentadbiran pasukan yang mereka wakili.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata FAM akan sentiasa memberi kerjasama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi membendung kegiatan judi bola sepak di negara ini.

"FAM memandang serius perkara ini dan akan melakukan kerjasama dengan FIFA mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata antara langkah lain yang diambil oleh FAM ialah melakukan taklimat rasuah bola sepak kepada pengurus pasukan dan jurulatih setiap pasukan seperti yang dilakukan pada hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain