suria

Masalah Pertindihan Atlet Akan Diselesaikan

KUALA LUMPUR: Masalah pertindihan pendaftaran atlet bagi Sukan Malaysia terus berlaku meskipun temasya itu kini memasuki edisi ke-14 sejak pertama kali dipertandingkan pada 1986.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Jalil Abdullah berkata peraturan Sukan Malaysia jelas menyatakan seseorang atlet mesti menetap sekurang-kurangnya setahun di negeri berkenaan sebelum boleh didaftarkan tetapi kes perebutan atlet masih berlaku untuk edisi kali ini.

"Pada edisi kali ini, ada atlet yang didaftarkan oleh tiga negeri. Bagi menyelesaikan kes pertindihan ini, MSN akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan," katanya. Selasa.

MSN akan menganjurkan Sukan Malaysia edisi ke-14 di sekitar Lembah Klang dari 2 hingga 15 Jun ini dengan mempertandingkan 19 acara pilihan.

Abdul Jalil berkata pengarah MSN di negeri-negeri sebenarnya bertanggungjawab mendaftarkan atlet negeri masing-masing serta mempunyai kuasa untuk membenarkan atlet negeri mereka mewakili negeri lain.

"Ada kes, terlalu ramai atlet dalam sesuatu jenis sukan di sesuatu negeri dan atlet yang tidak terpilih mungkin memohon menyertai negeri lain yang kurang atlet dalam acara berkenaan. Terpulang kepada budi bicara pengarah MSN di negeri-negeri," katanya.

Beliau berkata yuran pendaftaran atlet bagi Sukan Malaysia edisi ke-14 kekal RM100 seorang.

Bayaran pendaftaran bagi setiap atlet yang mengambil bahagian dalam Sukan Malaysia sebelum ini ditetapkan sebanyak RM20 semasa temasya itu pertama kali diadakan pada 1986. Jumlah ini tidak berubah sehinggalah pada edisi ke-10 di Negeri Sembilan pada 2004, sebelum dinaikkan kepada RM100 pada Sukan Malaysia Kedah 2006.

Katanya MSN juga tidak menjemput Brunei untuk menyertai edisi ke-14 tetapi akan mempelawa negara itu menyertai temasya edisi ke-15 di Pahang, tahun depan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain