suria

Hoki : Malaysia Tewas 1 - 2 Di Tangan Juara Dunia Australia

IPOH: Sasaran Malaysia untuk muncul antara empat pasukan terbaik semakin pudar apabila tewas 1-2 di tangan juara dunia, Australia, pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini malam Jumaat.

Walaupun persembahan Malaysia lebih mantap selepas tewas 1-3 kepada Britain pada perlawanan pembukaan semalam, namum tentangan sengit mengasak kubu Australia tidak membawa hasil.

Bagaimanapun, penjaga gol utama negara S. Kumar bertindak cemerlang untuk mengelak Australia daripada menambah jaringan.

Malaysia memulakan perlawanan dengan penuh bertenaga dan mampu memberi saingan dengan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil mengejutkan pasukan lawan dengan jaringan pembukaan pada minit ke-23.

Australia mula menyesuaikan diri dengan rentak lawan dan bangkit untuk melancarkan serangan namum benteng pertahanan Malaysia sukar dibolosi sehingga memaksa kedudukan tidak berubah pada separuh masa.

Tiga minit sebelum perlawanan berhenti rehat, Malaysia berpeluang menambah jaringan tetapi bola pukulan Faizal Saari ditepis keluar oleh penjaga gol Australia, Andrew Charter, pada minit ke-32.

Kesilapan barisan pertahanan negara membawa padah apabila Australia dihadiahkan pukulan penalti dengan Simon Orchard menyempurnakan pukulan itu untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-59.

Malaysia kehilangan peluang untuk mendahului Australia pada minit ke-63 apabila Faizal gagal menyempurnakan pukulan penalti.

Ketika perlawanan menuju ke penghujung, Jason Wilson menghadiahkan gol kemenangan Australia paad minit ke-70 menerusi pukulan sudut penalti.

Malaysia akan menentang India pada Isnin ini manakala Australia berdepan dengan India, Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Lain