suria

Pemain Golf Ke Sukan Sea Dipilih Berdasarkan Aksi Tempatan - MGA

PETALING JAYA: Kejohanan Golf Kurnia Terbuka Amatur Saujana ke-24 pada 24 hingga 26 Mei ini di Saujana Golf & Country Club (SGCC) di Subang, dekat sini, merupakan salah satu medan bagi menilai pemain ke Sukan SEA Indonesia, November ini.

Pengurus Besar Persatuan Golf Malaysia (MGA), V. Ravindran berkata selain kejohanan itu, beberapa kejohanan peringkat negeri dan Kejohanan Amatur Terbuka Malaysia juga menjadi medan penilaian.

"Pemain akan dikenalpasti berdasarkan ranking masing-masing dan juga catatan purata mereka kerana ia penting dalam acara berpasukan," kata Ravindran pada sidang media di sini, Khamis.

Katanya lapan pemain yang disenarai pendek itu akan mengikuti latihan pusat sebelum empat pemain dimuktamadkan bagi menggalas cabaran di Sukan SEA.

Sementara itu, seramai 120 pemain termasuk 50 hingga 60 pemain asing dijangka menyertai kejohanan tiga hari itu.

Pengurus Besar SGCC, John Eu berkata juara edisi 2009, Gavin Kyle Green dari Malaysia dan beberapa pemain dari Australia, India, Myanmar, Filipina, Singapura dan Sri Lanka telah mengesahkan penyertaan masing-masing.

Katanya juara bertahan Mithun Parera dari Sri Lanka tidak layak bertanding kerana telah menjadi pemain profesional awal tahun ini.

Tarikh tutup penyertaan ialah 15 Mei ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain