suria

Malaysia Gagal Sekat Britain

IPOH: Percaturan jurulatih negara Tai Beng Heng merehatkan penjaga gol utama S. Kumar membawa padah apabila Malaysia tewas 1-3 kepada Britain pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-20 di sini, Khamis.

Peluang Malaysia memburu kejuaraan sulung semakin pudar apabila Britain membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi James Tindall sebelum Richard Smith sekali lagi menewaskan penjaga gol Roslan Jamaluddin pada minit ke-35.

Britain, yang menduduki ranking keempat dunia berbanding ranking ke-15 Malaysia, terus menguasai perlawanan dengan melancarkan serangan bertali arus sehingga separuh masa.

Malaysia cuba bangkit pada babak kedua tetapi asakan demi asakan oleh Britain menyebabkan benteng pertahanan negara kucar-kacir.

Namun Malaysia berjaya merapatkan jurang gol memalui pukulan deras Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil pada minit ke-41.

Bagaimanapun, Britain tidak gentar dengan jaringan itu tetapi sebaliknya memperkukuhkan jentera serangan untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-51 menerusi jaringan padang Robert Moore.

Malaysia akan menentang Australia pada perlawanan kedua esok manakala Britain berdepan dengan juara bertahan bersama India.

Sebelum itu, juara bertahan bersama Korea Selatan mula memberi amaran awal apabila bangkit pada babak kedua untuk menewaskan India 3-2.

India memulakan saingan dengan bertindak garang dengan menyempurnakan pukul sudut penalti menerusi Ram Diwakar pada minit ke-20 sebelum Danish Mujtaba memperkukuhkan kedudukan pada minit ke-27.

Bagaimanapun, Korea tidak gentar dengan jaringan awal India dan berjaya merapatkan jurang menerusi Hong Eun Seong pada minit ke-31 sebelum berhenti rehat.

Sebaik bermula babak kedua, Korea menukar rentak dengan menggandakan asakan dan hasil serangan pantas membuahkan hasil apabila Yoon Sung Hoon menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-41.

Pemain gantian Jang Jong Hyun memberi Korea mata penuh apabila menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-56.

Korea akan menentang Pakistan manakala India bertemu Britain pada perlawanan kedua masing-masing esok.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain