suria

Kuncoro Kembali Beraksi Selepas Berehat Panjang Akibat Kecederaan

ALOR SETAR: Selepas berehat panjang akibat kecederaan sejak setahun lepas, pemain perseorangan lelaki Indonesia Sony Dwi Kuncoro kembali beraksi dengan menjadikan kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini sebagai kejohanan pertamanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata pergerakannya masih lagi perlahan jika dibandingkan dengan permainannya sebelum ini.

"Saya masih perlu banyak latihan bagi mengumpul semula stamina supaya saya tidak ketinggalan dalam perlawanan," kata pemain berumur 27 tahun itu.

Beliau berkata kecederaan yang dialaminya itu tidak sedikitpun mematahkan semangatnya untuk terus bertapak di arena sukan badminton.

"Saya akan terus beraksi kerana masih ada banyak kesempatan untuk mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik London tahun hadapan," katanya.

Pada saingan pusingan pertama Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2011 yang berlangsung hari ini, Sony tidak menghadapi masalah menewaskan Nguyen Hoang Nam dari Vietnam 21-12, 21-18 dalam tempoh 30 minit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain