suria

Kejohanan PGM Dapat Suntikan Tajaan CCM

KUALA LUMPUR: Kejohanan Siri Keenam Jelajah Golf Profesional Malaysia (PGM)mendapat tajaan syarikat Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) bernilai RM200,000.

Kejohanan itu yang diberi nama baru, PGM-ADT-CCM Impian Classic 2011, menjadi pemangkin kepada pemain tempatan untuk mempertingkatkan kualiti bersaing di peringkat lebih tinggi, kata Pengerusi PGM Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

"Kejohanan seperti ini menyediakan platform untuk pemain golf tempatan mempamerkan kecemerlangan," katanya kepada pemberita selepas menerima akuan tajaan daripada Pengerusi CCM Tan Sri Hamad Kama Piah di Menara PNB, di sini.

Kejohanan itu akan diadakan di Impian Golf & Country Club, Kajang, mulai Khamis ini dan akan menjadi gelanggang saingan terbaru di Malaysia menyertai Jelajan Pembangunan Asia (ADT).

ADT baru diwujudkan tahun lepas oleh Jelajah Asia sebagai satu platform bagi menyemai bintang-bintang baru dan tiga pemain terhandal mengikut Order of Merit, akan dianugerahkan tiket menyertai Jelajah Asia.

Ahmad Sarji berkata pertandingan empat hari itu akan disertai 136 pemain membabitkan 68 pemain tempatan dan 68 daripada ADT.

Beliau menambah kejohanan itu juga menawarkan lapan slot untuk kelayakan wildcard, empat masing-masing daripada PGM dan ADT.

"Kita telah memilih Ben Leong, Iain Steel, Andrew Argus dan Daniel Ng yang merupakan pemain amatur yang bakal memperolehi kelayakan wildcard," kata Ahmad Sarji.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain