suria

FAM Dicadang Iktiraf Pemain Asean Sebagai Pemain Tempatan

IPOH: Bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pada Rabu mencadangkan Malaysia membuka pintu kepada pemain bola sepak dari negara Asean, beraksi dalam liga tempatan atas tiket pemain tempatan seperti yang dibuat oleh liga di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

"Buat apa kita hadkan atau wajibkan seorang sahaja pemain Asean... jangan ada sekatan untuk pemain dari Asean. Pemain luar Asean sahaja patut dianggap sebagai pemain import. Kita boleh contohi Kesatuan Eropah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pandangan yang dilontarkan itu wajar difikirkan oleh FAM demi meningkatkan mutu bola sepak negara dan juga negara serantau.

Raja Ahmad berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa yang mengumumkan bermula musim depan, pemain import akan kembali mewarnai arena bola sepak tanah air dan seorang daripada mereka mestilah dari negara Asean.

FAM mula membenarkan khidmat pemain import beraksi dalam Liga Malaysia dengan pengenalan Liga Semi Pro pada 1989 sebelum menamatkan khidmat mereka bermula musim 2009.

Raja Ahmad berkata langkah membenarkan semula kemasukan pemain import adalah baik tetapi anjakan yang lebih berani harus dilakukan.

"FAM harus berpandangan lebih jauh kerana skuad negara telah menewaskan pasukan-pasukan Asean dengan menjuarai Piala AFF Suzuki tahun 2010. Taraf permainan negara-negara jiran lebih kurang sama atau rendah daripada kita, jadi kenapa perlu dikategori sebagai pemain import. "Jadi tidak perlulah kita berpatah balik dengan mewajibkan pemain import dari negara Asean... apa yang perlu diputuskan ialah membesarkan sempadan negara dengan memberi kelebihan pemain Asean sebagai pemain tempatan.

"Taraf pemain import pula diberi kepada pemain dari luar Asean seperti China, Korea Selatan atau Jepun serta rantau lain," katanya.

Beliau yakin langkah itu akan meningkatkan mutu bola sepak kelab negara-negara Asean supaya mampu bersaing untuk kancah liga juara-juara Asia.

Beliau memuji keputusan FAM membenarkan kemasukan pemain import yang sememangnya akan mengubah semula landskap bola sepak negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain