suria

Chong Wei Hormati Keputusan Misbun

ALOR SETAR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berkata beliau menghormati keputusan bekas jurulatih perseorangan negara Datuk Misbun Sidek menolak kontrak baru yang ditawarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tetapi berharap dapat bertemu dan berbincang dengan Misbun.

"Saya menghormati keputusan beliau kerana saya tahu apa yang beliau mahukan," katanya di sini, Rabu.

Katanya beliau akan berjumpa dengan Misbun selepas pulang ke Kuala Lumpur dan berbincang dengannya kerana Misbun yang telah menaikkan namanya dalam sukan itu.

"Saya serahkan kepada BAM untuk menyelesaikan perkara itu tetapi apa yang saya rasakan ialah negara akan rugi kerana kehilangan jurulatih yang berbakat besar seperti beliau," katanya.

Misbun dilaporkan menolak kontrak baru yang ditawarkan oleh BAM dan keputusan beliau itu telah diterima secara sebulat suara oleh Majlis BAM yang bermesyuarat di Stadium Juara, Bukit Kiara, baru-baru ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain