suria

Chong Wei Bimbang Keadaan Gelanggang

ALOR SETAR: Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei memulakan aksinya pada kejohanan badminton Grand Prix Emas Terbuka Malaysia 2011 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini hari ini dengan hanya memerlukan masa 23 minit untuk menundukkan pemain Singapura, Robin Gonansa.

Pada perlawanan pusingan pertama itu, Chong Wei menang 21-7, 21-16.

Bagaimanapun, juara All England itu sedikit terganggu dengan keadaan gelanggang yang agak keras dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain jika tersalah langkah.

"Saya juga ada mendengar rungutan daripada pemain-pemain lain tentang perkara itu tetapi apa yang boleh dilakukan adalah bermain dengan baik dalam setiap perlawanan supaya tidak mengalami kecederaan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Chong Wei yang baru menjuarai Terbuka India minggu lalu tidak menghadapi banyak masalah dalam pertemuan dengan Robin.

"Ini adalah pembukaan yang baik bagi saya dan saya akan meneruskan permainan ini dengan kekuatan mental dan fizikal," katanya.

Chong Wei berkata walaupun baru pulang dari India dan masih terasa penat, tetapi itu adalah lumrah dan sudah menjadi kebiasaan bagi seorang ahli sukan.

"Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan ini kerana ia adalah kejohanan pertama untuk pemain mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik London 2012 nanti," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain