suria

Terengganu Bakal Wujudkan Akademi Badminton

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu bercadang mewujudkan akademi badminton di negeri itu, demikian menurut Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata akademi yang akan ditubuhkan itu akan melatih pemain dari peringkat umur 12 hingga 18 tahun untuk dijadikan pemain pelapis negeri.

"Kita akan tentukan tempat dalam masa terdekat dan kita juga dalam proses mencari seorang jurulatih untuk membimbing akademi ini.

"Paling lewat awal tahun depan akademi ini akan ditubuhkan dan mula beroperasi," katanya selepas menyampaikan anugerah sukan negeri Terengganu, di sini, Isnin.

Katanya Terengganu masih berada ditahap yang rendah dalam sukan badminton dan menerusi penubuhan akademi itu, ia diharap mampu melahirkan bakat baru dalam sukan berkenaan.

"Jika dahulu kita melihat pasukan basikal mempuyai potensi yang besar untuk berjaya kita mengambil langkah dengan mewujudkan pasukan sendiri dan ia berjaya. "Tidak mustahil akademi (badminton) ini juga akan berjaya dengan bimbingan jurulatih berkebolehan dan komitmen yang tinggi daripada para pemain," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain