PKNS Terus Terajui Liga Perdana - Sukan | mStar

PKNS Terus Terajui Liga Perdana

KUALA LUMPUR: PKNS Selangor terus mengekalkan rentak cemerlangnya dengan melebarkan pungutan mata di persada Liga Perdana apabila membenam pasukan USM FC 4-0 pada perlawanan bola sepak liga itu di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Isnin.

Keputusan itu membolehkan PKNS memperkukuhkan kedudukan dengan 39 mata, tujuh mata di hadapan Sarawak dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 15 perlawanan serta nyata mengulangi beberapa kejayaan besarnya menentang pasukan lawan di tempat sendiri.

Dua jaringan tuan rumah disumbat oleh Zambri Hassan pada minit ke-45 dan 55 dan satu jaringan masing-masing dijaringkan oleh Mohd Irme Mat (min-28) dan Mohd Azrif Nasruhaq pada minit ke-49. Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kemenangan tipis 2-1 pada pertemuan menentang SDM Navy.

Di Stadium Negeri, Kuching, jaringan tunggal Bobby Gonzales pada minit ke-26 membolehkan pasukan tuan rumah menang tipis 1-0 terhadap Pos Malaysia.

Kemenangan itu membolehkan Sarawak terus berada di kedudukan kedua carta liga dengan kutipan 32 mata selepas 15 perlawanan.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pasukan pelawat, Majlis Perbandaran (MP) Muar membelasah pasukan tercorot liga, Pulau Pinang dengan keputusan 4-1.

Jaringan hatrik oleh Mohd Fitri Omar menerusi sepakan penalti pada minit ke-52, minit ke-69 dan 73 serta S. Harithas pada minit ke-86 membolehkan pasukan MP Muar mengumpul 21 mata di tangga kelapan.

Gol saguhati Pulau Pinang dihasilkan oleh R. Puganeswaran pada minit ke-33.

Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Johor Bharu, Johor gagal menggunakan peluang terbaiknya beraksi di tempat sendiri apabila sekadar terikat seri 2-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dua gol tuan rumah masing-masing dijaringkan oleh Fazuan Abdullah pada minit ke-16 dan Mohd Zain Omar (min-52) sementara gol PDRM masing-masing dijaringkan oleh Adib Azzuddin Latif (min-20) dan Norizan Salaman pada minit ke-67.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Nadal Puji Djokovic

Artikel Lain