suria

Nicol Ketuai Barisan Negara Pada Separuh Akhir

GEORGE TOWN: Jaguh sensasi negara Datuk Nicol Ann David menerajui cabaran negara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Individu Asia ke-16 selepas perlawanan pusingan suku akhir di sini malam Khamis.

Selain Nicol, Low Wee Wern, Delia Odette Arnold, Ong Beng Hee dan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan turut melangkah ke separuh akhir.

Nicol, yang mempertahankan gelaran Asia kali ketujuh berturut-turut, dengan mudah menewaskan pemain Hong Kong, Chan Ho-Ling 11-6, 11-6, 11-7 dalam masa 31 minit.

Pemain berusia 27 tahun dan juara dunia lima kali itu berkata beliau bangga untuk memenangi perlawanan itu di hadapan ahli keluarga dan rakan-rakannya.

"Saya cuba untuk tidak memberi ruang kepada beliau (Chan) tetapi beliau masih mampu melakukan beberapa pukulan untuk meraih mata," kata Nicol, pemain nombor satu dunia, selepas perlawanan itu.

Katanya beliau perlu berhati-hati pada saingan separuh akhir menentang Delia esok selepas lawannya itu menewaskan pemain India, Dipika Pallikal 9-11, 11-7, 5-11, 11-5, 11-9 dalam saingan selama sejam.

Wee Wern, yang menduduki ranking ke-13 dunia, mengatasi rakan sepasukan Siti Munirah Jusoh 11-8, 10-12, 11-8, 11-2 untuk berdepan dengan pilihan kedua Annie Au dari Hong Kong pada separuh akhir.

Wee Wern berkata beliau tidak pernah menang ke atas Annie Au dalam beberapa pertemuan sebelum ini.

Annie Au mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Song Sun Mi dari Korea Selatan 11-3, 11-6, 11-8.

"Saya kalah 3-0 kepada Annie pada Terbuka Korea tahun lepas dan hanya berharap sokongan penonton tempatan dapat menaikkan semangat untuk mencipta kejutan esok," katanya.

Dalam kategori lelaki, Ong Beng Hee, pemain nombor 27 dunia, mengalahkan rakan senegara Elvinn Keo Jinn Chung 11-8, 11-4, 9-11 dan 15-13 dalam masa 51 minit.

Beng Hee, yang memburu gelaran pertama tahun ini, berkata beliau berharap dapat bermain dengan lebih baik dan memberi tumpuan ketika menentang pemain India, Siddharth Suchde, pada separuh akhir.

Siddharth melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Abdullah Khalid H. Al-Mezayen dari Kuwait 12-14, 11-6, 11-8, 8-11, 11-8.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain