suria

Yunus Serah Kepada Pengurusan

KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih T-Team, Yunus Alif menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memutuskan tentang kedudukan beliau dengan pasukan itu berikutan gesaan sesetengah pihak yang mahu jurulatih T-Team ditukar.

"Terserahlah kepada pihak pengurusan sama ada mahu mengekalkan saya sebagai ketua jurulatih T-Team atau sebaliknya," katanya, Isnin.

Yunus berkata beliau akur dengan sebarang keputusan yang bakal dibuat pengurusan berikutan gesaan penyokong yang mahu jurulatih T-Team ditukar berikutan prestasi hambar yang dipamer pasukan itu kebelakangan ini.

"Jika setakat ini sahaja jodoh saya bersama T-Team, saya terima," katanya.

Beberapa kain rentang menuntut pengurusan T-Team menukar jurulatih digantung di beberapa lokasi di kawasan bandar ini sejak Ahad.

Yunus menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih T-Team selama satu musim dan kontraknya bersama T-team masih berbaki tujuh bulan lagi.

Katanya sebagai seorang jurulatih beliau telah memberikan khidmat terbaik kepada pasukan bimbingannya itu.

"Inilah dunia bola sepak. Jika kita berjaya dan menang dalam perlawanan orang akan puji, jika sebaliknya kita dicemuh, apapun saya terima keputusan daripada pihak pengurusan," katanya.

T-Team menduduki tangga kesembilan daripada 14 pasukan apabila hanya menang empat kali, seri tiga dan tewas tujuh kali dengan memungut 15 mata dalam Liga Super musim ini.-BERNAMA

T-Team, Yunus Alif, Liga Super

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain