suria

Nicol Sedia Pertahan Gelaran Di Gelanggang Sendiri

GEORGE TOWN: Ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David dijangka mempertahankan gelaran jaguh Asia buat kali kelapan di negeri kelahirannya serta di gelanggang sempena namanya bermula Selasa.

Kejohanan individu selama lima hari itu dianjurkan oleh Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) dan Persatuan Skuasy Pulau Pinang (SRAP) dan ditaja bersama oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Nusmetro.

Presiden Persatuan Skuasy Asia Datuk Abdul Sani Karim berkata beliau dimaklumkan bahawa Pusat Skuasy Antarabangsa Nicol David berada dalam keadaan terbaik untuk menganjurkan kejohanan tersebut.

Selain Malaysia, katanya, India, Pakistan, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan, Kuwait, Sri Lanka, Singapura, Iran, Iraq, China dan Taiwan telah mengesahkan penyertaan.

Peminat sukan itu di sini berpeluang menyaksikan aksi Nicol, selaku pemain nombor satu dunia serta pemain handalan negara Low Wee Wern dan Ong Beng Hee secara percuma.

Nicol, sebagai pilihan utama dalam kategori wanita, mendapat 'bye' pada pusingan pertama dan dijangka menentang pemenang antara Jerryca Teo dari Singapura dan pemain Sri Lanka Dulakshi Elikewela, pada pusingan kedua, Rabu ini.

Pemain nombor dua negara Low Wee Wern, juga dari Pulau Pinang, merupakan pemain pilihan ketiga diikuti Delia Arnold manakala pemain Hong Kong, Annie Au, merupakan pilihan kedua.

Sementara itu, dengan ketiadaan pemain India Saurav Ghosal kerana kecederaan dan pemain nombor satu negara, Mohd Azlan Iskandar, peluang untuk Ong Beng Hee mempertahankan gelaran dalam kategori lelaki adalah cerah.

Selain Beng Hee, cabaran negara akan digalas oleh Mohd Nafiizwan Adnan, Mohd Asyraf Adnan dan Kamran Khan.

Beng Hee, yang menerima 'bye' pusingan pertama, akan menentang pemenang perlawanan antara pemain Jepun Yuta Fukui dan Nyeon Ho Lee dari Korea Selatan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain