suria

A.Sani Tawar Diri Tanding Jawatan Timbalan Presiden MOM

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) penggal ini (2009-2011), Datuk A. Sani Karim menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden majlis itu bagi penggal 2011-2013, pada pemilihan 18 Jun ini.

Bekas presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) selama enam tahun sejak 2005 itu berkata beliau menawarkan diri selepas penyandang Tan Sri Dr M.Jegathesan mengesahkan tidak akan mempertahan jawatannya bagi penggal depan.

"Selepas Dr Jegathesan membuat keputusan tersebut, ramai rakan dari persatuan sukan memujuk saya untuk mengisi kekosongan tersebut.

"Dengan bakat kepimpinan sukan sebagai bekas presiden SRAM dan kini sebagai presiden Persekutuan Skuasy Asia sejak 2009, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden," katanya, Selasa.

Beliau adalah seorang daripada naib presiden MOM bagi penggal ini bersama Prof Datuk W.Y Chin, Datuk Zakaria Ahmad, Datuk Roy Rajasingham dan Low Beng Choo.

A. Sani berkata beliau masih belum mendapat reaksi daripada rakan-rakan yang bersamanya sebagai naib presiden MOM tetapi menegaskan akan tetap bertanding sekiranya terdapat calon lain yang berminat dengan jawatan tersebut.

MOM akan mengadakan pemilihan bagi mengisi 12 jawatan pada mesyuarat agung tahunannya yang akan berlangsung pada 18 Jun ini.

Sehingga kini, setiausaha kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan untuk mempertahankan jawatan yang disandang sejak 1992 sementara Jegathesan tidak akan mempertahankan jawatan timbalan presiden.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain