suria

Shahril Pilih Underbone 115cc

PELUMBA PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM Racing Shahril Izzuwan Mohd Noor menolak tawaran untuk beraksi dalam kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) pusingan pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara) pada 29 April hingga 1 Mei ini.

Shahril melepaskan peluang beraksi dalam kategori SuperSports 600cc kerana mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap kategori Underbone 115cc dan percaya pasukan mereka berpeluang cerah untuk merebut kejuaraan keseluruhan tahun ini.

Shahril yang bergandingan dengan pelumba berusia 15 tahun, Mohd Ramdan Mohd Rosli berkata, “Kami telah membuktikan kemampuan pada kedua-dua kategori CP130 dan CP115 di peringkat tempatan iaitu Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Dengan itu, kami yakin dapat mencapai keputusan yang sama di pentas ARRC PETRONAS.”

Tambahnya lagi, dengan pengalaman yang ditimba musim lalu, mereka bukan sekadar mempertingkatkan kemahiran tunggangan, malah sudah tahu cabaran-cabaran yang dilontarkan dipersaingan ARRC ini.

"Oleh itu, kini kami lebih bersedia dan tidak mahu melepaskan peluang ini dan bersedia untuk merampas gelaran juara keseluruhan dari tangan pelumba-pelumba Indonesia tahun ini.

“Pun begitu, kami masih perlu bekerja keras untuk mendapatkankan keputusan yang konsisten pada setiap pusingan terutama di Litar Sentul, Indonesia.

"Saya tidak tahu kenapa kami seringkali menghadapi masalah pelarasan di Litar Sentul tetapi saya berharap masalah itu dapat diatasi pada tahun ini,” tambah Shahril yang berada di kedudukan ke-21 keseluruhan musim lepas.

Pelumba berusia 23 tahun itu mengakui selain daripada mahu mencipta kemenangan dalam kategori Underbone 115cc untuk negara, beliau sebenarnya masih belum bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mengawal jentera yang lebih berkuasa.

“Sebenarnya saya masih belum bersedia. Saya sedar ia memakan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera yang berkapasiti 600cc dan keputusan yang baik tidak dapat dicipta dalam sekelip mata sahaja.

"Mungkin peluang ini tidak akan hadir lagi pada tahun depan namun saya tidak menyesal dengan keputusan ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain