suria

Terbuka Malaysia Buka Laluan Ke Olimpik London

ALOR SETAR: Kejohanan badminton Terbuka Malaysia Yonex-Sunrise di sini dari 3 hingga 8 Mei ini menjadi pembuka laluan kepada pemain untuk ke Sukan Olimpik di London tahun hadapan.

Seramai 177 pemain lelaki dan 129 wanita dari 22 negara akan menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Kedah Goh Yen Yen berkata Persekutuan Badminton Sedunia telah menetapkan Terbuka Malaysia kali ini sebagai kejohanan pertama bagi pemain mengutip mata kelayakan untuk ke Olimpik London 2012.

Juara All-England Datuk Lee Chong Wei akan mengetuai cabaran Malaysia pada kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang berjumlah US$120,000.

Chong Wei memenangi pingat perak perseorangan lelaki pada Sukan Olimpik yang lepas di Beijing pada 2008 selepas tewas kepada Lin Dan dari China dalam perlawanan akhir.

Goh berkata tiket-tiket dijual di pejabat Persatuan Badminton Kedah di sini bermula hari ini dari 10 pagi hingga 10 malam.

Kaunter tiket akan juga dibuka di Stadium Sultan Abdul Halim semasa kejohanan berlangsung.

"Hari pertama kejohanan berlangsung, orang ramai boleh masuk secara percuma tetapi pada 4 dan 5 Mei, harga tiket ialah RM5, 6 Mei RM10, 7 Mei RM15 dan bagi perlawanan akhir, RM20," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain