suria

Larian Menara KL Diadakan Pada Waktu Malam

KUALA LUMPUR: Cabaran Towerthon Menara Kuala Lumpur pada 7 Mei ini buat julung kalinya akan diadakan pada waktu malam melibatkan 3,500 peserta termasuk dari luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Zuraidah Mohd Said berkata, larian yang memasuki tahun ke-10 itu, diadakan pada waktu malam kerana penganjur mahu mengadakan sesuatu yang unik dan berbeza.

"Mungkin kerana lebih sejuk (pada waktu malam), tahun ini juga kami menerima bilangan penyertaan yang lebih ramai daripada 3,000 yang menjadi sasaran asal kami," katanya kepada pemberita di Menara Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Larian itu akan bermula pada 8 malam di tempat letak kereta terbuka perkarangan menara tersebut. Peserta akan mendaki 2,058 anak tangga di menara itu.

Larian itu menawarkan hadiah berjumlah RM100,000. Ia terbahagi kepada 12 kategori.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 1 Mei ini dan orang ramai yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Menara Kuala Lumpur, Muzium Telekom atau di laman web www.menarakl.com.my.

Pelumba Kenya, Philip Kipkemei Ronoh, memegang rekod 13 minit 21 saat apabila memenangi acara itu tahun lepas.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain