suria

Sekolah Sukan Malaysia Diharap Adakan Program Pertukaran Dengan Chinese Excellent Sports School

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap sekolah-sekolah di Malaysia boleh mengadakan program pertukaran dengan Experimental High School di Beijing.

Ini berikutan sekolah yang terletak di bawah kelolaan Beijing Normal University menunjukkan prestasi cemerlang dan memenangi anugerah atas program pertukarannya di peringkat antarabangsa.

Muhyiddin berkata sekolah-sekolah di Malaysia boleh belajar daripada Experimental High School yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan, untuk memperbaiki program sukan serta meningkatkan pencapaian keseluruhan pelajar di Malaysia.

Bidang ini penting dan sekolah di Malaysia boleh belajar dari Experimental High School memandangkan Malaysia kini memulakan program 1Murid 1Sukan, katanya ketika berucap semasa melawat Experimental High School di sini, Selasa.

"Kita percaya penglibatan pelajar dalam aktiviti sukan akan meningkatkan kebolehan belajar mereka dan menyumbang kepada proses pembangunan diri," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata terdapat dua sekolah sukan di Malaysia dan kementerian berharap untuk menjalin pelbagai bentuk kerjasama antara sekolah-sekolah sukan di Malaysia dan Experimental High School.

"Bidang tertentu yang dikenalpasti ialah pembangunan kurikulum yang mengintergrasikan aktiviti sukan ke dalam program akademik di sekolah.

"Selain itu kita juga berminat untuk memulakan program pembangunan guru untuk berkongsi kepakaran dalam pendidikan sukan bersepadu," katanya.

Selain sekolah sukan, Muhyiddin yang tiba di sini Isnin untuk lawatan rasmi seminggu ke China dijadual melawat Beijing Foreign Studies University (BFSU).

Timbalan Perdana Menteri dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China Wen Jiabao, Khamis.

Pagi Rabu, beliau menerima kunjungan hormat Menteri Pelajaran China Yuan Guiren.

Lawatan pertama Muhyiddin ke China itu adalah atas jemputan naib Perdana Menteri Majlis Negara China Li Keqiang. Selain Beijing, beliau akan melawat Shanghai dan Guangzhou. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain