suria

PM Mahu MGA Semak Semula Program Pembangunan Remaja

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Persatuan Golf Malaysia (MGA) menyemak semula program pembangunan remaja bagi terus menyokong pembangunan bakat pemain tempatan dan melahirkan jaguh-jaguhnya sendiri.

Katanya selepas 50 tahun menyaksikan Kejohanan Golf Terbuka Malaysia, beliau percaya pemain Malaysia tidak lama lagi boleh merangkul kejuaraan itu.

"Sudah tentu, tiada pemain Malaysia menjuarai kejohanan itu tetapi kita pernah menghampirinya...juara edisi 2001, Vijay Singh berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia dan itu sudah cukup bagi kita.

"Kerajaan Malaysia sentiasa menyokong pembangunan bakat-bakat muda kita," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah bagi Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2011 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), di Bukit Kiara, di sini, Ahad.

Najib juga menyifatkan kejayaan acara itu sebagai wadah penting bagi menampilkan imej Malaysia kerana kejohanan itu disaksikan oleh kira-kira 400 juta penonton di 42 buah negara.

Matteo Manassero, pemain berusia 17 tahun, muncul juara paling muda dan pemain Itali pertama meraih kejuaraan dalam sejarah kejohanan itu apabila mencatatkan jumlah 16 bawah par 272 sepanjang saingan empat pusingan itu. - BERNAMA

Artikel Lain