suria

Pemain Asia Berpeluang Juarai Terbuka Malaysia: Thongchai

KUALA LUMPUR: Walaupun terpaksa bersaing dengan ramai pemain handalan, termasuk yang bertaraf dunia, pemain golf dari Asia tetap berpeluang menjuarai Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank kali ini, kata juara dua kali kejohanan itu Thongchai Jaidee dari Thailand.

"Apa saja boleh berlaku dalam golf. Jelajah Asia menampilkan ramai pemain handalan dari Asia. Cuaca dan keadaan padang juga lebih serasi dengan kami.

"Saya sendiri akan mencuba sedaya upaya untuk menang dan berharap pemain Asia akan muncul sebagai juara minggu ini," kata Thongchai.

Antara pemain yang menyertai kejohanan edisi ke-50 itu ialah juara Masters yang baru Charl Schwartzel dan juara Terbuka Britain Louis Oosthuizen dari Afrika Selatan.

Mereka akan diiringi pemain nombor satu dunia dan juara Kejohanan PGA Martin Kaymer dari Jerman serta pemain nombor sembilan dunia Rory McIlroy dari Ireland Utara.

Thongchai berkata setelah pulih daripada kecederaan belakang, kini dia bersedia untuk bersaing pada Terbuka Malaysia.

Pemain yang menjuarai Terbuka Malaysia pada 2004 dan 2005 ini dimasukkan ke hospital selama sembilan hari setelah mengalami kecederaan semasa menyertai kejohanan Avantha Masters di India, Februari lepas.

Sementara itu, pemain remaja Itali Matteo Manassero berkata dia ingin melakar sesuatu yang menarik pada Terbuka Malaysia yang julung kali disertainya pada tahun ini.

"Ramai pemain muda mempamerkan persembahan baik pada kejohanan Masters dan saya berbangga dengan kejayaan yang kami capai setakat ini. Melihat Noh (Seung-yul dari Korea Selatan) mencapai kemenangan pada tahun lepas sungguh menggembirakan saya dan harap-harap saya akan mencapainya pada tahun ini," kata pemain berusia 17 tahun itu.

Noh muncul sebagai pemain termuda menjuarai Terbuka Malaysia ketika berusia 18 tahun setelah mencatat birdie pada lubang terakhir untuk menewaskan pemain berpengalaman K.J. Choi.

Manassero merangkul gelaran juara Jelajah Eropah pada kejohanan Castello Masters Costa Azahar di Valencia, Sepanyol pada Oktober tahun lepas dan kini menduduki ranking 57 dunia.

Terbuka Malaysia edisi ke-50 yang menawarkan hadiah US$2.5 juta (RM8 juta) akan disertai 156 pemain.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain