suria

Tiga Pasukan Malaysia Berada Dalam Kelompok Terbaik

PERLUMBAAN berprestij negara, Grand Prix Formula Satu Petronas Malaysia (F1) yang berakhir Ahad lalu secara tidak langsung telah memberi kepuasan tersendiri, bukan sahaja kepada pihak penganjur, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tetapi juga kepada tiga pasukan yang mengibar bendera Malaysia pada edisi ke-13 tahun ini.

Bagi SIC, sasaran untuk melihat 100,000 pengunjung terlaksana selepas tiga hari perlumbaan dengan catatan 105,018 penonton yang merangkumi sesi latihan bebas, kelayakan dan hari perlumbaan, berbanding tahun lepas yang mencatatkan kehadiran 97,864 penonton.

Pengerusi SIC, Datuk Mokhzani Tun Mahathir berkata beliau berbangga dengan jumlah kehadiran dari Jumaat hingga ke perlumbaan akhir yang dilihat meningkat ekoran penganjuran pelbagai promosi dan strategi SIC untuk menarik peminat ke litar itu.

“Saya gembira kami berjaya melepasi jangkaan 100,000 penonton. Walaupun pada Jumaat kelihatan tidak ramai yang hadir, namun ia meningkat pada Sabtu dan hari terakhir semuanya penuh,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan semalam.

Menurut kenyataan SIC, Jumaat lepas menyaksikan kunjungan 17,685 penonton, manakala Sabtu 22,325 orang, dan Ahad 65,008.

Sementara itu, kejayaan SIC dalam menarik lebih ramai pengunjung adalah disebabkan salah satu faktor iaitu penglibatan tiga pasukan yang mempunyai kaitan dengan Malaysia iaitu penyertaan Proton dalam Lotus Renault GP serta syarikat petroleum negara, Petronas dalam Mercedes GP Petronas F1 Team dan Team Lotus yang merupakan pasukan F1 pertama dari Malaysia yang diterajui oleh peneraju penerbangan tambang murah negara AirAsia dan pengerusi Tune Group Datuk Seri Tony Fernandes.

Paling menarik, ketiga-tiga pasukan ini berjaya berada dalam kelompok sepuluh konstruktor terbaik selepas tamat perlumbaan dengan menyaksikan pasukan Lotus Renault GP ditangga keempat (30 mata), Mercedes GP Petronas F1 Team di kedudukan kelapan (2 mata) dan Team Lotus, kesembilan tanpa sebarang mata.

Lebih membanggakan apabila pelumba pasukan Lotus Renault, Nick Heidfeld berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, selepas rakan sepasukannya, Vitaly Petrov turut berada di tempat ketiga pada perlumbaan pusingan satu di GP Australia sebelum ini.

Selain itu, pelumba kelahiran Jerman, Sebastian Vettel daripada pasukan Red Bull Racing terus mengungguli perlumbaan di tempat pertama dan menjadikannya sebagai juara dua kali berturut-turut selepas turut menang di Melbourne dua minggu lalu.

Pasukan Red Bull kini mengumpul 72 mata keseluruhan diikuti McLaren Mercedes 50 mata dan ketiga Scuderia Ferrari Marlboro, 30 mata.

Rakan sepasukan Vettel, Mark Webber berjaya mencatat rekod terbaik pada perlumbaan ini apabila menjadi pelumba terpantas pada pusingan ke-46 dengan catatan masa 1:40.571 biarpun gagal meraih podium.

Perlumbaan pusingan ketiga akan berlangsung di China pada 15 hingga 17 April ini.

Artikel Sebelum

Selangor Rampas Takhta Liga

Artikel Berikut

Jadual F1 GP Malaysia, Ahad

Artikel Lain