suria

Kerajaan Sedia Timbang Tubuh Pusat Pembangunan Bola Sepak - Najib

SUBANG: Kerajaan bersedia mempertimbangkan permohonan kelab bolasepak dari Wales, Cardiff City, untuk menjalin kerjasama bagi membangunkan pusat pembangunan bola sepak di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kerjasama itu akan dilaksanakan sekiranya permohonan kelab itu bersesuaian dengan kemampuan kerajaan. "Langkah ini amat kita sanjungi kerana untuk menjamin masa depan bola sepak negara kita memerlukan pembangunan di peringkat akar umbi yang tersusun.

"Kerjasama itu bermakna sekiranya mereka memerlukan kemudahan kita akan meneliti permohonan itu dan jika berkemampuan kerajaan akan sediakan apa yang dikehendaki," katanya dalam sidang media selepas melancarkan 1Malaysia Cardiff City Junior Football League (1MCC-JFL) di Pusat Penyelidikan Getah, Sungai Buloh dekat sini, Ahad.

Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi 1MCC Datuk Chan Tien Ghee dan jurulatih bola sepak kebangsaan K.Rajagobal.

Najib berkata kerjasama tersebut memungkinkan hasrat membangunkan bakat bola sepak di negara ini tercapai kerana mereka bakal dibekalkan dengan aspek pembangunan yang menyeluruh termasuk pengetahuan untuk menjadi pemain yang berkualiti.

Beliau berkata pelan pembangunan tersebut akan dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kelab Bola Sepak Cardiff City, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bolasepak Malaysia.

"Saya mengalu-alukan langkah yang telah dimulakan oleh pengerusi 1MCC. Kerajaan akan bagi sokongan yang sebaik-baiknya supaya usaha ini mencapai tujuan ia diadakan," katanya.

Cardiff City, milik rakyat Malaysia, merupakan kelab divisyen dua yang beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sebelum itu, Chan dalam ucapannya berkata Cardiff City berharap kerajaan akan membantu menyediakan kemudahan bagi menjayakan rancangan kelab itu untuk menubuhkan sebuah pusat pembangunan bola sepak bertujuan membantu menggilap bakat-bakat muda di negara ini.

Diketuai bekas pemain bola sepak Cardiff City Kevin Cooper, pusat itu yang dirancang untuk beroperasi Jun depan akan turut menawarkan program untuk jurulatih tempatan dan ibu bapa bagaimana untuk mengurus dari segi diet dan etika di padang kepada anak-anak, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

ATM Kekal Rekod Tanpa Kalah

Artikel Lain