suria

SIC Bantu MRCS Kumpul Dana Bantu mangsa Bencana Jepun

SEPANG: Selain menikmati aksi hebat pasukan lumba kereta berentap dalam Kejohanan F1 Petronas Malaysian Grand Prix 2011, peminat sukan lumba yang berkunjung ke Litar Sepang pada Sabtu dan Ahad juga dapat memberi sumbangan kepada mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun baru-baru ini.

Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) menganjurkan kutipan amal khusus buat mangsa bencana itu di litar perlumbaan di sini pada hari perlumbaan Sabtu dan esok (Ahad).

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC) Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali berkata rakyat Malaysia sentiasa bermurah hati untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan, walau di mana, pada bila-bila masa.

"Tambahan pula dalam acara perlumbaan dua hari ini, ada ramai juga peminat sukan ini dari negara asing yang datang, yang ingin menyumbang kepada mangsa bencana itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Ketibaan Litar Sepang di sini, Sabtu.

Sementara itu Pengurus Komunikasi PBSM Suhana Mohamed Salleh berkata ia merupakan aktiviti kutipan dana yang pertama anjuran bersama PBSM dan SIC.

"Program Dana Bantuan PBSM bermula sejak 14 Mac dan sehingga kini kami menerima respons yang amat baik dari sektor korporat dan syarikat-syarikat kecil yang sanggup menghulur bantuan kepada PBSM.

"Kami sudah menyumbang USD1 juta kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Jepun, dan kini kami merancang untuk mengutip USD1 juta lagi sehingga penghujung bulan Jun ini. Wang ini akan digunakan sebagai dana pemulihan buat mangsa bencana itu, khususnya dalam pembekalan ubat-ubatan, kediaman, dan lain-lain program," katanya.

Mereka yang berminat untuk menderma boleh melayari laman web www.redcrescent.org.my untuk maklumat lanjut dan derma boleh disampaikan kepada Dana Bantuan Antarabangsa PBSM dengan menyumbang kepada nombor akaun Maybank:

514422102657 atau menghantar cek ke ibu pejabat PBSM di Kuala Lumpur.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain