suria

Perlumbaan F1 Boleh Ditonton Pada Skrin Gergasi Baru Di Dataran Merdeka, Ahad

KUALA LUMPUR: Warga kota berpeluang menyaksikan perlumbaan Formula 1 Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang secara langsung menerusi skrin video matrik gergasi di Dataran Merdeka di sini, petang Ahad.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail, berkata perlumbaan pada 4 petang itu boleh ditonton menerusi skrin LED baru berteknologi tinggi bernilai RM8.7 juta dari Korea Selatan.

Paparan skrin definisi tinggi (HD) berukuran 11.777 meter x 6.653 meter (37 kaki x 261 inci) dengan kadaran format digital 16x9, menggantikan skrin lama bersaiz 9.856 meter x 7.392 meter yang sudah berusia 10 tahun, katanya pada sidang media selepas pelancaran skrin itu di sini, Sabtu.

Ahmad Fuad berkata penggantian skrin itu dilaksanakan secara perjanjian enam tahun dan opsyen tambahan empat tahun antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan syarikat elektronik dari Korea, Optica Fibre Technologies MSC Sdn Bhd.

"DBKL tidak perlu membayar sebarang kos bagi skrin itu kerana semua kos termasuk pembekalan, penyelenggaraan, pengendalian dan operasi dibiayai sepenuhnya oleh Optica Fibre Technologies melalui penjanaan pendapatan menerusi tajaan serta pengiklanan korporat.

Katanya syarikat itu bertanggungjawab menjana pendapatan dengan memasarkan skrin kepada agensi pengiklanan bagi pengiklanan di skrin dan pengiklanan di tepi struktur skrin tersebut.

Ahmad Fuad berkata dengan pemasangan skrin berkenaan, DBKL akan memperolehi beberapa manfaat termasuk penjimatan kos skrin sebanyak RM8.7 juta dan kos penyelenggaraan berjumlah RM800,000 setahun.

"Selain itu, DBKL dijangka memperolehi pemulangan 40 peratus dari keuntungan bersih pendapatan dengan pemulangan minima sebanyak RM110,000 setahun dan had masa siaran 30 peratus bersamaan enam jam sehari kepada DBKL dan 70 peratus kepada Optica," katanya.

DBKL akan menggunakan had masa siaran itu untuk menayangkan kempen-kempen, promosi pelancongan Kuala Lumpur, makluman aktiviti dan perkhidmatan yang disediakan oleh DBKL untuk warga kota, katanya.

Katanya peruntukan waktu itu tidak termasuk masa tambahan untuk acara-acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti sambutan Tahun Baru Cina, Hari Merdeka, Citrawarna, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Pahlawan.

Skrin itu akan beroperasi sepenuhnya setiap hari mulai 15 April dari 6 pagi sehingga 2 pagi keesokannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain