suria

Pemandu Mercedes GP Petronas Mahu Tebus Kekecewaan

MELAKA: Bekas juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher, yang memandu jentera Mercedes GP Petronas, berazam untuk menebus kekecewaan pasukan itu pada saingan Grand Prix F1 Malaysia di Sepang, Ahad ini.

"Saya memang menanti perlumbaan pusingan kedua hujung minggu ini kerana ia adalah perlumbaan di gelanggang pasukan.

"Walaupun kami kecewa denga perlumbaan di Australia, kami harap untuk bangkit semula dan menunjukkan prestasi yang kami semasa sesi ujian terakhir di Barcelona," katanya.

Schumacher dan rakan sepasukan Nico Roseberg terpaksa menamatkan perlumbaan pada saingan pembuka musim di GP Australia di Litar Albert Park, Melbourne, pada 27 Mac lalu, lebih awal.

Schumacher terpaksa berhenti selepas tayar kenderaannya pancit manakala Rosberg terbabit dalam pelanggaran bersama pemandu Williams, Rubens Barrichello.

Shumacher dan Rosberg melawat Kompleks Penapisan Petronas di Sungai Udang di sini hari ini sempena pengumuman Petronas sebagai pembekal pakej minyak kepada pasukan itu mulai dari GP Malaysia dari 8 hingga 10 April ini.

Sementara itu, Rosberg berkata beliau berharap untuk mengulangi pencapaian tempat ketiga pada GP Malaysia 2010 di Litar Sepang kali ini.

"Kami perlu berusaha keras untuk membuahkan segala hasil kami di trek dan adalah sukar untuk meramal kedudukan kami ketika ini," katanya.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jenteranya, Rosberg berkata:

"Belum lagi. Kami tidak berada di tempat sepatutnya."

Selain meninjau aktiviti hiliran di kilang penapisan minyak itu, kedua-dua pemandu itu menyertai program pendidikan Petronas bersama 135 murid dari Sekolah Kebangsaan Sungai Udang, Sekolah Kebangsaan Tangga Batu dan Sekolah Kebangsaan Pantai Kundor dekat sini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain