suria

Geran FAM Diagih Tak Lama Lagi - Sultan Ahmad Shah

KUANTAN: Pengagihan geran tahunan kepada ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan dilaksanakan tidak lama lagi, titah Presiden FAM Sultan Ahmad Shah.

"Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan tentulah saya tahu apa yang sebenarnya berlaku dan pengagihan geran tahunan itu akan dibuat tidak lama lagi," titah baginda kepada pemberita ketika ditanya mengenai laporan tentang kelewatan pengagihan geran berkenaan.

Laporan media hari ini menyebut sepatutnya kelewatan pengagihan geran tahunan kepada ahli gabungannya yang bersaing dalam Liga Malaysia tahun ini tidak berlaku kerana wang penajaan sebanyak RM220 juta bagi tempoh empat tahun itu sudah diterima oleh badan induk berkenaan.

Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa dalam laporan itu berkata duit penajaan itu telah diserahkan kepada FAM dan Jawatankuasa Liga Super Malaysia telah membuat perakuan mengenai jumlah geran baru itu kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Kewangan FAM.

Annuar, yang juga Pengerusi Liga Super Malaysia berkata, jawatankuasanya sudah menyerahkan kertas cadangan mengenai jumlah geran tahunan baru itu kepada Jawatankuasa Pengurusan dan Kewangan untuk mendapat kelulusan, namun setakat ini belum mendapat sebarang kata putus.

Sebelum ini, FAM memperuntukkan geran tahunan antara RM100,000 dan RM300,000 untuk pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana.

"Dia (Annuar) nak bercakap biar dia bercakaplah tapi saya tidak bercadang mahu menyentuh tentang perkara-perkara ini," titah Sultan Ahmad Shah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain