suria

Selangor Rampas Tangga Teratas Liga

KUALA LUMPUR: Selangor berjaya melonjakkan diri ke tangga teratas Liga Super setelah mencatat kemenangan 2-1 ke atas Harimau Muda A pada perlawanan di Stadium Shah Alam malam Selasa.

Dengan kemenangan tersebut, Selangor kini mengumpul 20 mata iaitu satu mata di hadapan pencabar terdekat, Perak selepas sembilan perlawanan.

Harimau Muda A terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-6 menerusi Mohamad Fandi Othman.

Pada babak kedua perlawanan, tertekan dengan jaringan pihak lawan, Selangor memperolehi jaringan pertama menerusi Mohd Asaruddin Putra Omar pada minit ke-80. Gol kemenangan skuad bimbingan K.Devan itu akhirnya disumbangkan oleh Mohd Amirulhadi Zainal pada minit ke-84.

Turut berjaya memperbaiki kedudukan hasil kemenangan hari ini ialah Perak yang kini menduduki tangga kedua liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Perlis di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan pelawat, Perlis terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-42 menerusi Azwan Zainon.

Gol Perak disumbangkan oleh Shahrulnizam Mustafa pada minit ke-56 dan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-88.

Pendahulu liga sebelum ini, Kelantan mengalami nasib berbeza apabila tewas 3-4 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Akibat kekalahan tersebut, Kelantan kini jatuh ke tangga ketiga liga dengan kutipan 17 mata.

T-Team membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi Zairo Anuar Zailani, Norfarhan Muhammad pada minit ke-51 dan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-62.

Tertekan dengan kedudukan 0-3, pasukan Kelantan menukar rentak dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Danial Fadzly Abdullah (minit ke-62 dan 86) dan S.Chanthuru pada minit ke-78.

Gol kemenangan T-Team disumbangkan oleh Mohd Haris Safwan pada minit ke-86. Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Johor FC mengalahkan Kedah 2-1.

Gol bagi Johor FC disumbangkan oleh Fendi Ahmad (minit ke-37) dan Mohd Rashid Mohd Aya (minit ke-52).

Manakala gol saguhati Kedah dijaringkan oleh Mohd Khyrel Muhymeen pada minit ke-52. Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Kuala Lumpur menang tipis ke atas Negeri Sembilan 1-0, hasil jaringan Mohd Badrul Hisyam Azmi pada minit ke-5.

Felda United pula seri 1-1 dengan Sabah pada perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Rooney Bakal Didenda

Artikel Berikut

Artikel Lain