suria

Peserta Dari Terengganu Pamer Aksi Mantap

KUALA TERENGGANU: Peserta dari Kelab Terengganu Marina (CTM) menjuarai tiga daripada lapan kategori kejohanan Terengganu World Invitational Jetrace Challenge (TWIJC) 2011 yang berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa berakhir, Ahad.

Mereka ialah Hanif Shukri yang memenangi kategori Expert Runabout Open (Malaysia Only), Ahamd Dawi bagi kategori Veterans Open dan peserta wanita Nur Shahida Mohd Noor bagi Women Runabout Open.

Dengan kemenangan itu Hanif berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala manakala Ahmad dan Nur Shahida masing-masing RM2,500 serta piala.

Kejohanan TWIJC kali kedua yang berlangsung di marina kejohanan perahu layar Piala Monsun selama tiga hari yang berakhir hari ini disertai oleh 60 peserta yang terdiri daripada sembilan negara antaranya Amerika Syarikat, Finland, Kanada, Perancis, United Kingdom (UK), Jepun, Indonesia, Thailand dan Malaysia selaku tuan rumah.

Peserta dari Finland Pancho Marjak menjuarai dua kategori iaitu Pro-Am Runabout 4-Stroke Stock dan Pro-am Runabout 800 Open, yang membolehkan beliau membawa pulang wang tunai RM6,000 serta piala pada kejohanan itu.

Peserta dari UK Seth Wilkinson pula menjuarai kategori Endurance dengan memenangi hadiah wang tunai RM8,000 beserta piala.

Lain-lain kategori ialah Novice Runabout 4-Stroke Stock yang dimenangi oleh Bryan Chia Wai Yuen (Malaysia), dan Pro-Am Runabout Open dimenangi Teera Settora (Thailand).

Peserta veteran dari CTM Ahmad Dawi, 48, ketika ditemui berkata beliau sudah lama berkecimpung dalam sukan jetrace dan pernah mewakili Petronas lima kali.

"Pada pertandingan hari ini saya mendapat cabaran sengit peserta dari Jepun Toshiyuki Oraha dan saya gembira kerana memenangi pertandingan itu," katanya yang kini menjadi tenaga pengajar CTM.

Manakala Nur Shahida pula ketika ditemui berkata, beliau tidak menjangka akan memenangi pertandingan pertama kali disertainya itu.

"Saya baru setahun berjinak dengan sukan ini setelah ayah menghadiahkan sebuah jetsky kepada saya. Saya ditentang hebat oleh peserta dari Amerika Syarikat Amy Green yang merupakan peserta rangking dunia," kata anak kedua dari empat beradik itu.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden CTM Tengku Sri Laksamana Raja.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain