suria

Pahang Dibenar Beraksi Di Stadium Darul Makmur Hingga Mei

KUANTAN: Pasukan bola sepak Pahang dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia di gelanggangnya di Stadium Darul Makmur, Kuantan sehingga penghujung Mei ini sebelum kerja membaik pulih dijalankan pada Jun.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) Datuk Dr Omar Othman berkata Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meluluskan permohonan persatuan itu kerana kerja menaik taraf stadium berkenaan akan hanya dimulakan pada Jun.

"Sebelum ini stadium berkenaan dijadual terlibat dengan kerja menaik taraf pada awal April, namun selepas ia ditangguhkan sehingga Jun, maka kita telah memohon supaya pasukan Pahang dibenarkan beraksi sehingga Mei di stadium itu," katanya kepada pemberita di sini.

Pahang masih mempunyai empat perlawanan dalam Liga Super di stadium berkenaan, dengan perlawanan terakhir ialah pada 27 Mei bertemu Kuala Lumpur.

Omar berkata bilangan penonton yang hadir ke Stadium Darul Makmur untuk menyaksikan perlawanan Liga Malaysia telah meningkat. "Kutipan tiket perlawanan pernah mencecah hampir RM90,000 untuk satu perlawanan berbanding purata bawah RM5,000 pada musim lepas," katanya.

Pahang kini berada di tangga keenam liga dengan mengumpul 10 mata selepas tujuh perlawanan, ketinggalan hanya empat mata daripada pendahulu liga, Kelantan.

Omar berkata FAM akan memutuskan kemudian berkenaan stadium yang akan dijadikan sebagai gelanggang Pahang. -BERNAMA

Artikel Lain