suria

Kementerian Sukan Tidak Lagi Diperlukan Bila Persatuan Sukan Berdikari

KUALA LUMPUR: Kementerian Sukan dijangka tidak diperlukan pada masa depan apabila industri sukan berjaya dibangunkan di negara ini dan persatuan-persatuan sukan boleh berdiri sendiri seperti sebuah syarikat swasta, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau bagaimanapun berkata jangka masa panjang diperlukan bagi mencapai keadaan itu dan kementeriannya kini masih dalam proses memberi kesedaran kepada masyarakat tentang potensi besar bidang sukan kepada penjanaan ekonomi.

"Perkara ini mengambil masa. Kita perlukan masa lagi untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan untuk membangunkan sukan sebagai satu industri yang besar.

"Salah satu cara untuk kita mencapai tujuan ini ialah dengan pelancaran Tahun Industri Sukan bermula pada Julai ini hingga Julai tahun depan, di mana pelbagai aktiviti akan kita jalankan untuk memberi kesedaran dan maklumat kepada orang ramai," katanya kepada media di sini, Jumaat.

Ahmad Shabery berkata apabila persatuan-persatuan sukan dapat beroperasi seperti sebuah badan korporat, mereka akan lebih mudah membuat keputusan dan akan mempunyai sokongan besar dari segi penajaan.

"Ini akan mengurangkan peranan kerajaan dan memberi impak yang lebih baik kepada sesuatu sukan," katanya yang turut memberi contoh kelab-kelab sukan di Amerika dan England yang telah berjaya menguruskan kelab tanpa suntikan dana daripada kerajaan.

Beliau berkata industri sukan negara juga memerlukan lebih banyak publisiti bagi membantu pembangunannya.

"Contohnya tidak ramai peminat golf yang mengetahui bahawa mereka boleh mendapatkan kelengkapan golf berkualiti yang lebih murah di negara ini berbanding negara-negara lain, begitu juga dengan penjualan barangan sukan yang lain," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Mines Event Management Sdn Bhd (MEM), yang akan bekerjasama menganjurkan 'Malaysia Sports Trade & Golf Expo (MSTGE) 2011'.

Acara itu akan berlangsung dari 27 hingga 30 Oktober di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia Mines Resort City.

Pada majlis itu, yang turut dihadiri pengasas The Mines Tan Sri Lee Kim Yew, MSN diwakili pengarah Datuk Zolkples Embong manakala Pengarah Pengurusan Kumpulan Country Height Holding Berhad Marc Rozario menandatangani bagi pihak MEM. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain