suria

Tiada Program Punca Skuad Bola Sepak Wanita Jatuh

KUALA LUMPUR: Ramai yang menyalahkan pemain dalam skuad bola sepak wanita kebangsaan apabila pasukan tersebut menjadi skuad belasahan ketika beraksi di temasya Sukan SEA di Laos pada 2009.

Setelah dua tahun mendiamkan diri, akhirnya bekas kapten skuad wanita kebangsaan, Angela Kais menceritakan punca kekalahan dan masalah yang dihadapi oleh mereka.

Angela, 31, berkata tiada program latihan dan kurangnya persiapan merupakan faktor utama menyebabkan pasukan yang diketuainya menjadi skuad belasahan pada dua tahun lepas.

"Kami hanya dipanggil untuk menjalani latihan persiapan untuk menghadapi Sukan SEA di Laos dalam masa yang singkat iaitu enam hingga tujuh bulan sebelum kejohanan bermula.

"Pasukan dari negara lain membuat persiapan dari awal dan mereka berlatih dan bermain sepanjang tahun dalam liga sendiri," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata faktor tersebut menyebabkan pasukan wanita kebangsaan kurang bersedia sehingga dibelasah teruk oleh pasukan lawan.

Angela yang mula menyertai skuad kebangsaan pada 2007 berkata sekiranya mereka diberi masa yang secukupnya mungkin mereka dapat memberikan persembahan yang lebih baik.

"Saya dan rakan-rakan tidak menyalahkan mana-mana pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana mungkin pada masa itu tumpuan lebih diberikan kepada skuad lelaki yang dilihat lebih berpotensi daripada kami," katanya.

Angela berkata Malaysia agak ketinggalan dalam sukan bola sepak wanita kerana tiada liga bola sepak khusus untuk wanita di negara ini.

Beliau memberi cadangan agar FAM menganjurkan liga bola sepak wanita seperti yang diadakan di negeri Sabah.

"Di Sabah terdapat kejohanan liga bola sepak wanita pada peringkat daerah. Adalah wajar jika FAM turut menganjurkan kejohanan seperti itu di sini," katanya.

Angela berkata pada pemerhatian beliau, agak susah untuk mencari bakat-bakat baru bola sepak wanita di sini berbanding di Sabah dan Sarawak.

Persembahan skuad bola sepak wanita disifatkan memalukan nama negara setelah menjadi skuad belasahan pada temasya Sukan SEA 2009 apabila ditumpaskan Thailand 0-14 pada perlawanan pembukaan dan kemudiannya di belasah 0-8, sebelum disusuli satu lagi kekalahan 0-5 kepada pasukan tuan rumah dan tewas 7-1 kepada Myanmar.

Semalam, Bernama melaporkan FAM menerusi Setiausaha Agungnya Datuk Azzudin Ahmad membuat pengumuman untuk membubarkan skuad bola sepak wanita kebangsaan dan memberi tumpuan kepada program pembangunan akar umbi bagi memperkasa skuad tersebut pada masa depan.- BERNAMA

Artikel Lain