suria

Syarikat Sukimi Tubuh Pasukan Cub Prix

KOTA BAHARU: Pengeluar minyak pelincir tempatan, Kumpulan Sukimi melalui syarikat Sukimi Lube (M) Sdn Bhd, mengumumkan penubuhan pasukan Yamaha CKJ Sukimi Racing untuk berentap pada sukan pemotoran Malaysia Cub Prix 2011.

Presiden Kumpulan Sukimi Datuk Seri Ahmad Sukimi Ibrahim berkata penubuhan pasukan itu dibuat sejajar dengan perkembangan syarikat itu sebagai pengeluar minyak pelincir terulung berjenama Sukimi Lube khusus untuk enjin tahan lasak.

"Tahun ini Sukimi melangkah MAJU setapak lagi dengan menubuhkan pasukan Yamaha CKJ Sukimi Racing, menggunakan jentera Yamaha," katanya dalam satu persidangan akhbar selepas pelancaran itu di sini, Ahad.

Pelancaran disempurnakan Pengerusi Kumpulan Sukimi, Tun Ahmadshah Abdullah dan majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi Kumpulan Sukimi Datuk Seri Shariff Omar.

Kumpulan Sukimi sebelum ini pernah menjadi penaja kepada pasukan Naza Sukimi UTM Racing yang mengambil bahagian dalam kejohanan AAM Malaysia Cub Prix pada 2009.

Ahmad Sukimi berkata syarikat itu juga menaja pasukan Sukimi SAM Rallying pada kejohanan Malaysia Rally X pada 2009, dan tahun lepas ia sekali lagi menaja pasukan Sukimi UTM Racing yang menggunakan enjin Modenas. Beliau berkata pasukan Yamaha CKJ Sukimi Racing akan bertanding dalam kategori Wira dan kategori CP115 yang membabitkan pelumba tempatan.

Menurutnya antara pelumba yang menyertai pasukan itu ialah Ahmad Afif Amran, Che Ku Amriq Asyraff Che Ku Jonaidi bagi kategori Wira dan kategori CP115 pula diwakili oleh Muhammad Syawalludin Mohd Zaki dan Muhammad Haikel Akmal Zakaria.

Beliau berkata penglibatan Kumpulan Sukimi dalam sukan permotoran adalah sebagai platform dalam menguji keupayaan kualiti produk minyak pelincir keluaran syarikat itu, yang sebelum ini memang sudah terbukti keupayaannya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain