suria

Sukan Memainkan Peranan Penting Dalam Pembinaan Negara

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sukan memainkan peranan sangat penting sebagai penghubung dalam menjalin hubungan antara pelbagai etnik, budaya, bangsa dan agama yang membentuk sebuah masyarakat yang bertenaga dalam pembinaan negara.

Perdana Menteri berkata sukan juga bertindak sebagai sebahagian daripada proses mencari sahabat di kalangan asing. Sebagai seorang yang mempercayai kuasa transformasi dalam sukan, katanya beliau komited untuk membina budaya sukan di Malaysia bermula dari akar umbi sehingga ke peringkat elit.

"Saya komited bukan hanya untuk mencapai kecemerlangan kesukanan nasional tetapi memastikan sukan kekal sebagai sebahagian daripada kehidupan semua rakyat Malaysia, sebab itu saya menubuhkan sebuah jawatankuasa peringkat kabinet membabitkan 10 kementerian berlainan dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jawatankuasa itu kini menumpukan mengenai lapan sukan teras bola sepak, hoki, badminton, skuasy, boling, jimnastik, akuatik dan atletik, dan saya ingin menyatakan bahawa setakat ini ia nampak membuahkan hasil," katanya selepas menerima Anugerah Plak Kehormatan daripada Persekutuan Sukan Perubatan Antarabangsa (FIMS) di sini, Ahad.

Anugerah itu disampaikan oleh presiden FIMS Prof Dr Fabio Pigozzi sempena Kongres Sukan dan Latihan Perubatan Antarabangsa selama enam hari yang berakhir di sini hari ini.

Ia diberikan kepada Najib kerana kecemerlangan beliau dalam mempromosikan sukan dan pentadbiran aktiviti kesukanan khasnya merangka dan melaksanakan Dasar Sukan Negara Malaysia ketika beliau menjadi Menteri Sukan pada 1986.

Pada majlis itu juga, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor juga dianuegrahkan dengan Plak Kehormatan itu kerana usaha beliau dalam banyak bidang termasuk memberikan perhatian pada aktiviti kebajikan, sukan dan pendidikan.

Najib berkata "Sebagai contoh, dalam badminton, wira Malaysia Datuk Lee Chong Wei baru sahaja memenangi juara perseorangan lelaki Terbuka All-England. Dan kita juga berbangga dengan Datuk Nicol David dan pasukan bola sepak kita yang mencapai kecemerlangan," katanya.

Beliau juga berkata semua usaha untuk menyokong atlet kelas dunia setaraf dengan kemajuan penjagaan kesihatan, pemakanan dan sokongan kelas dunia ditambah dengan kesukanan dan pencapaian kesukanan yang diperoleh daripada pencapaian sains.

Katanya Malaysia bernasib baik mempunyai Institut Sukan Negara (ISN) yang dilengkapi dengan teknologi canggih, termasuk klinik perubatan sukan, makmal perubatan, unit radiologi, fisiotrapi, gym pemulihan kecederaan, gym perapi, dewan biomekanik, makmal fisiologi dan kemudahaan pemakanan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain