suria

Skuad Negeri Sembilan Diberi Amaran Keras

SEREMBAN: Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) Datuk Seri Mohamad Hasan pada Rabu memberi amaran keras kepada pegawai dan pemain skuad Liga Super negeri itu agar mempamerkan prestasi cemerlang dalam baki saingan Liga Super musim ini.

Katanya beliau tidak akan teragak-agak merombak, merehat, menggantung dan menyingkirkan mana-mana pegawai dan pemain yang gagal menunjukkan permainan yang diharapkan.

"Prestasi mereka kita nilai dan boleh dipertimbangkan untuk dikenakan tindakan tersebut jika prestasi mereka kurang memberangsangkan dan menyakinkan. Ini dunia profesional dan mereka harus terima hakikat ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai prestasi merudum pasukan Negeri Sembilan ketika ini.

Juara bertahan Negeri Sembilan tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini selepas tewas 2-4 kepada Kuala Lumpur menerusi sepakan penalti pada perlawanan pusingan kedua pada 4 Mac lepas.

Pada saingan Liga Super pula, Negeri Sembilan yang telah mengharungi 6 perlawanan setakat ini mengumpul sembilan mata untuk menduduki tempat kesembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata jika mereka sayangkan kerjaya masing-masing dan pasukan negeri ini, mereka mesti berubah dan pamerkan prestasi terbaik mereka untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini.

"Sebenarnya saya telah pun membuat rombakan dengan menyingkirkan penolong pengurus pasukan Faizal Zainal pada 1 Mac lepas dan selepas ini dia tiada kena mengena lagi dengan skuad Liga Super negeri.

"Kita juga telah memberi surat amaran kepada semua pemain dan pegawai termasuk jurulatih Wan Jamak Wan Hassan sejak kita tersingkir daripada saingan Piala FA. Bagi saya, kita kalah dalam banyak perlawanan setakat ini disebabkan kita lemah dari segi taktikal.

"Dalam hubungan ini, jurulatih mesti bertanggungjawab. Saya telah beri dia (jurulatih) pemain terbaik dan terpulang padanya untuk mencorakkannya, namun sehingga kini pasukan kita gagal menyerlah.

"Kita bayar gaji pemain mahal-mahal, ada sampai RM20,000, RM25,000, RM18,000 dan RM17,000 sebulan, tapi main cekak pinggang buat apa.

"Mereka bergaji tinggi tetapi tidak mempunyai kemahiran. Jika masih tidak berubah, saya akan bubarkan pasukan ini," katanya.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain