suria

Lehmann Sedia Kembali Bersama Arsenal

PENJAGA gol Jens Lehmann (gambar) mengesahkan dia akan melakukan kepulangan sensasi ke Arsenal.

"Arsenal kritikal di bahagian gawang pada ketika ini. Jadi saya sedia untuk membantu," kata penjaga gol berusia 41 tahun itu.

Lehmann percaya khidmatnya diperlukan dengan segera selepas Arsenal mengalami kekurangan penjaga gol senior akibat masalah kecederaan.

Manuel Almunia yang beraksi pada pusingan keenam Piala FA menentang Manchester United terpaksa digantikan dengan penjaga gol muda, James Shea selepas kecederaan memaksa Wojciech Szczesny, Lukasz Fabianski dan Vito Mannone diketepikan.

Lehmann kini berada di ibu pejabat latihan London Colney kerana menjalani kursus kejurulatihan tetapi Sky Sports mendakwa dia sedang berbincang mengenai kontrak jangka masa pendek bersama Arsenal.

Penjaga gol kelahiran Jerman yang pernah beraksi bersama The Gunners pada 2003 hingga 2008 melakukan 199 penampilan sebelum berhijrah ke Stuttgart.

"Saya berada di London tetapi sehingga kini saya belum dimaklumkan mengenai khabar angin itu, tetapi siapa tahu apa saja boleh berlaku," kata Lehmann menurut laporan akhbar Bild.

Artikel Sebelum

Artikel Lain