suria

Pasukan Kedah Kembali Bangkit

ALOR SETAR: Kebangkitan semula Kedah tanpa kelibat jurulatih Ahmad Yusof dalam memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada saingan Liga Super pada Sabtu telah menaikkan moral pemain.

Penolong jurulatih Radzi Mat Din, yang mengambil alih tugas Ahmad, berkata perubahan corak gerakan barisan serangan pasukan Hijau Kuning itu mula menampakkan hasil.

Katanya masalah ketumpulan jentera serangan Kedah musim ini masih boleh diperbaiki dan kelemahan taktikal serta kekuatan mental pemain bagi menghadapi tekanan akan terus diberi perhatian.

Saya mahu memastikan prestasi pasukan akan berada pada tahap terbaik bagi membolehkan pasukan itu mencapai kedudukan terbaik musim ini, katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau yakin pemain tonggak dalam pasukan seperti Ahmad Shakir Ali, Khyril Muhymeen dan Badrol Bahktiar dapat menampilkan potensi sebenar masing-masing dalam membantu pasukan pulih daripada prestasi hambar sebelum ini.

Sebelum ini, Ahmad direhatkan oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) atas desakan penyokong dan peminat pasukan itu selepas pasukan naib juara Piala FA tersingkir dari pusingan suku akhir Piala FA tahun ini.

Selepas kemenangan kedua semalam, Kedah menduduki tangga kelapan Liga Super dengan mengumpul sembilan mata dari tujuh perlawanan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain