suria

Lotus Renault F1 Sasar Kedudukan Lebih Baik

KUALA LUMPUR: Pasukan Lotus Renault Formula One (F1)(LRGP) mengharapkan musim lebih berjaya tahun ini dengan memperbaiki kedudukannya dalam senarai pembina kereta selepas menduduki tempat kelima musim lepas.

Ketua pasukan, Eric Boulier berkata pada musim lepas mereka berjaya mengutip 163 mata dan berharap musim ini akan menjadi penanda aras baru bagi LRGP.

Beliau berkata pemandu veteran Nick Heidfeld dari Jerman akan berpasangan dengan Vitaly Petrov dari Rusia dan banyak pengubahsuaian telah dibuat pada kereta pasukan khususnya di sayap depan untuk menghadapi musim mencabar ini.

"Kami akan tahu prestasi kereta dan pemandu pada perlumbaan pertama, selepas itu kami akan memperbaiki apa-apa yang perlu," katanya.

Boulier berkata persediaan pasukan bagi musim akan datang tidak terjejas walaupun pemandu utamanya Robert Kubica masih belum cukup cergas untuk menyertai perlumbaan di Melbourne, Australia pada 25-27 Mac.

"Walaupun kami tidak dapat menggunakan khidmat Kubica tetapi itu bukan alasan untuk tidak menjulang gelaran musim ini kerana kami mempunyai Heidfeld sebagai pemandu gantian," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain