suria

KPT Pertaruh Mohd Azizulhasni Ke Shenzhen

KUALA LUMPUR: Jaguh trek berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang hampir pasti akan beraksi di Kejohanan Sukan Universiti Dunia(WUG) di Shenzhen, China awal Ogos ini.

Penyelaras Media Sukan Kementerian Pengajian Tinggi Nur Ekmal Buhary berkata perkara itu telah dibincangkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Pada dasarnya MSN telah bersetuju dengan perkara itu, tetapi (mereka) belum membuat keputusan rasmi.

"Kita amat berharap Mohd Azizulhasni dapat bersama kita di sana nanti bagi membawa balik pingat emas pertama negara," katanya pada Rabu.

Nur Ekmal berkata walaupun Mohd Azizulhasni tidak menuntut di Malaysia, beliau layak mewakili negara ke WUG 2010.

Selain Mohd Azizulhasni, kementerian juga bercadang menawarkan peluang itu kepada beberapa atlet elit negara yang mempunyai potensi untuk menyumbang pingat, katanya.

Beliau berkata pada kali ini, kementerian bercadang menghantar 160 atlet untuk mengambil bahagian dalam 16 acara sukan.

Sebelum ini Malaysia pernah memenangi pingat perak pada WUG edisi 2007 di Bangkok, Thailand menerusi atlet taekwando, Chew Chee Chan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain