suria

Fairuz Sasar Tamat GP 2 Dalam Kelompok Teratas

KUALA LUMPUR: Pemandu muda sensasi negara Fairuz Fauzy bertekad membuktikan kemampuannya bersama pasukan Supernova Racing dengan sasaran untuk berada dalam kelompok teratas siri utama Grand Prix 2 (GP2) musim ini.

Selepas dinamakan sebagai pemandu simpanan oleh pasukan Formula One (F1)Lotus Renault GP (LRGP) Januari lepas, beliau akan menjadi pemandu pertama Malaysia memasuki Akademi LRGP di England dan berlumba dalam siri GP2.

Beliau berkata program dalam akademi itu direka bentuk untuk mencungkil pemandu berbakat dan menyediakan mereka untuk menghadapi perlumbaan F1.

"Saya ingin memberi konsentrasi sewajarnya untuk menamatkan perlumbaan di tempat teratas dalam GP2.

"Saya sedar beraksi dalam F1 sukar kerana mereka meletakkan sesi latihan dan sesi kelayakan pada hari berlainan tetapi di GP2, mereka membuat sesi latihan dan perlumbaan pada hari sama," katanya.

Beliau menghadiri majlis makan tengah hari pasukan Lotus Renault bersama media.

Fairuz, 28, berkata 2011 akan menjadi tahun yang mencabar baginya kerana selain berlumba dalam siri utama GP2, beliau bakal beraksi dalam GP2 Asia.

Beliau berkata segala persiapan untuk perlumbaan GP2 berjalan lancar dan jentera pasukan Supernova Racing barunya mampu mempamerkan prestasi memberangsangkan.

"Tahun ini, revolusi casis baru pasukan itu membuatkan saya lebih yakin untuk bersaing," katanya.

Bersaing dalam kelas GP2, Fairuz mengakui beliau turut mengintai peluang untuk membawa jentera Lotus Renault namun masih belum diberi peluang.

Prinsipal LRGP, Eric Boulier beliau mahu melihat Fairuz meningkatkan kemahiran memandunya dan akan menilai kebolehan Fairuz untuk menjadi antara pemandu utama LRGP.

"Beliau mempunyai bakat tetapi masih kekurangan pengalaman. Terdapat banyak proses sebelum beliau boleh berlumba dalam F1 satu hari nanti." kata Roulier.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain