suria

Azizulhasni Tokoh Ikon Yang Sebenar: Najib

MELBOURNE: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menyifatkan jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang, yang tetap meneruskan perlumbaan walaupun mengalami kecederaan semasa kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester bulan lepas, sebagai tokoh ikon yang sebenarnya.

"Kamu membuat kami merasa bangga. Kamu telah menunjukkan apa sebenarnya semangat itu.

"Sebenarnya kamu adalah tokoh ikon yang sebenar-benarnya yang tidak mengenal erti menyerah kalah," kata Perdana Menteri pada satu majlis makan tengah hari dengan rakyat Malaysia di sini, kebanyakannya pelajar ,dan turut dihadiri Mohd Azizulhasni, di Universiti Melbourne di sini.

Mohd Azizulhasni merupakan penuntut universiti itu dan kini berpangkalan di sini bersama skuad berbasikal trek negara. Di majlis itu, Najib kemudian menyampaikan sumbangan AUD10,000 (RM30,679) dari Majlis Sukan Negara (MSN) kepada Mohd Azizulhasni.

Najib juga menyifatkan episod Mohd Azizulhasni itu sebagai satu cerita yang menarik.

"Dalam hidup, kamu tidak boleh ada perkataan menyerah kalah.

"Anda hadapi rintangan, anda atasi rintangan itu. Anda hadapi cabaran, anda menanggung kesakitan itu dan jika anda tanggung kesakitan itu, anda akan berjaya," katanya.

Mohd Azizulhasni terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kirinya sewaktu menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester dua minggu lepas.

Biarpun betisnya masih tertusuk serpihan kayu itu, Mohd Azizulhasni bingkas menunggang semula basikalnya untuk menamatkan perlumbaan dan meraih pingat gangsa, memastikannya terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Najib berkata Mohd Azizulhasni juga merupakan simbol dalam hubungan Malaysia-Australia seperti yang disebut oleh Perdana Menteri Australia Julia Gillard bahawa "Mohd Azizulhasni adalah pelumba Malaysia bertaraf dunia di bawah asuhan Australia".

Sambil mengucapkan selamat berjaya kepada Mohd Azizulhasni, Najib berkata Malaysia mahu pelumba itu membuat negara berasa bangga dengan meraih emas.

Malaysia menyandarkan harapan kepada Mohd Azizulhasni untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik 2012 di London.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain