suria

Karnival Komuniti 1Malaysia Di Tiga Lokasi Jelajah 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Karnival Komuniti 1Malaysia akan diadakan di Johor, Pahang dan Negeri Sembilan sempena perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia yang bermula dari 8 hingga 13 Mac ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Poziah Abdul Rahman berkata ia bertujuan memberi peluang kepada agensi-agensi kerajaan memberikan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat setempat melalui aktiviti pameran dan perkhidmatan kaunter.

"Tiga lokasi berkenaan adalah Dataran Kluang, Johor pada 9 dan 10 Mac, Dataran Pekan, Pahang (11 dan 12 Mac) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan (12 dan 13 Mac)," katanya pada sidang media Karnival Komuniti 1Malaysia di sini Jumaat.

Poziah berkata lokasi berkenaan dipilih kerana menjadi venue pelepasan dan penamat bagi perlumbaan Jelajah 1Malaysia.

Katanya selain dapat mempromosikan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan dan rekreasi yang menarik, karnival itu juga diharap dapat mempamerkan kebudayaan tradisional setempat kepada peserta luar negara yang menyertai perlumbaan itu.

Beliau berkata pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri perlumbaan berbasikal Jelajah 1Malaysia yang disertai bukan sahaja oleh pelumba-pelumba tempatan tetapi juga pelumba profesional dari luar negara.

"Selain pelumba tempatan, seramai 180 pelumba dari 45 pasukan dari negara luar turut mengambil bahagian.

"Pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang program ini berlangsung, antaranya ialah Pertandingan Karaoke Patriotik 1Malaysia, Bola Sepak Jalanan, Persembahan Pentarama, sesi bersama artis dan sebagainya," katanya.

Sebanyak 30 pasukan termasuk 12 pasukan benua dan empat pasukan kebangsaan akan mengambil bahagian pada perlumbaan berbasikal itu. - BERNAMA

Artikel Lain