suria

Harimau Muda A Tewas Kepada Johor

SHAH ALAM: Percaturan jurulatih Harimau Muda A yang terpaksa melakukan perubahan drastik dengan menurukan barisan pemain baru tidak membuahkan hasil apabila anak buahnya tumpas mengejut kepada pasukan Liga Perdana, Johor 1-2 dalam saingan kedua Piala FA pada malam Jumaat.

"Saya tidak dapat menyenaraikan pemain Skuad Olimpik pada malam ini oleh sebab syarat prateknikal peraturan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang tidak membenarkan skuad asal bermain dalam perlawanan malam ini.

"Oleh sebab itulah saya terpaksa menurunkan sembilan pemain dari SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil)," katanya.

Beliau berkata walaupun terkilan tidak layak ke saingan suku akhir namun Kim Swee berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan pemainnya walaupun membuat latihan hanya dalam masa sehari.

Dalam perlawanan itu skuad Harimau Muda A yang beraksi garang pada awal babak pertama permainan di tempat sendiri terlebih dahulu membuat beberapa percubaan menerusi K. Ravindran untuk mencari peluang merobek gawang lawan.

Bagaimanapun pasukan pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan gol pada minit ke-11 menerusi Jasazrin Jamaluddin yang melepaskan rembatan leret di dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Harimau Muda A, Muhd Syamim Othman untuk kedudukan 1-0 yang kekal pada separuh masa pertama.

Bersambung di babak kedua, skuad bimbingan Ong Kim Swee terus menggandakan asakan kepada benteng kubu lawan dan hasilnya Norhamizarif Hamid meledak gol penyamaan pada minit ke-61 yang disudahkan dengan tandukan tepat ke gawang mengalahkan penjaga gol Johor, Afif Aizad Azman.

Kelegaan pasukan yang beraksi dalam Liga Super ini tidak berpanjangan apabila skuad bimbingan Azmi Mohamed kembali mendahului 2-1 melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh kapten Johor, Norizam Salaman apabila penyerangnya Mohd Shoufiq Mohd Khusaini dijatuhkan pada minit ke-66 oleh pemain pertahanan Harimau Muda A.

Perlawanan bertambah rancak apabila Johor sekali lagi hampir menghukum barisan pertahanan Harimau Muda A dengan cuba menjarakkan kedudukan namun sepakan Zulindra Shah Putra Adam sekadar singgah terkena palang gol yang telah mengalahkan Muhd Syamim pada minit ke-83.

Harimau Muda A cuba menggadakan asakan di saat akhhir untuk mendapatkan gol penyamaan namun mereka tidak beroleh peluang hinggalah pengadil, Suhaizi Sukri meniup wisel penamat.-BERNAMA

Artikel Lain