suria

Mohd Azlan Melonjak Ke Tangga Ke-10 Ranking Dunia PSA

KUALA LUMPUR: Impian pemain utama negara Mohd Azlan Iskandar untuk berada dalam senarai 10 pemain skuasy terbaik dunia tercapai apabila berada di tangga ke-10 ranking Persatuan Skuasy Profesional(PSA) yang dikeluarkan pada Rabu.

Ini adalah pencapaian terbaik pemain kelahiran Sarawak itu yang melonjak tiga anak tangga berbanding kedudukannya sebelum ini.

"Secara rasmi saya telah mencapai sasaran saya untuk menjadi antara 10 pemain terbaik dunia. Ini agak mengharukan bagi saya kerana saya hampir-hampir mencapainya dua tahun lepas.

"Tetapi saya jatuh sakit kerana sindrom latihan melampau, diikuti kecederaan pada musim berikutnya dan tahun lepas sibuk memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel, Kejohanan Asia dan Sukan Asia. Akhirnya impian saya tercapai," kata Mohd Azlan.

Pemain berusia 28 tahun itu memulakan musim 2011 dengan memenangi kejohanan Blunose Classic di Nova Scotia, Kanada pada 6 Feb lepas.

Beliau berkata tumpuannya kini terarah kepada Terbuka Kuala Lumpur 2011 yang akan berlangsung dari 18 hingga 20 Mac ini.

Bermain sebagai pilihan keempat kejohanan, Mohd Azlan akan bertemu Farhan Mehboob dari Pakistan pada perlawanan pembukaan.

"Saya menetapkan matlamat segera dan yang pertama dalam senarai itu ialah Terbuka Kuala Lumpur," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain